Friday, 25 September 2015

Media Sosial

Apabila disebut perkataan media sosial, secara spontan Facebook, Twitter, Whatsapp, Telegram dan beberapa aplikasi lain akan terus terlintas di dalam fikiran kita. Pada masa kini media sosial digunakan secara meluas tanpa mengira status, latarbeakang pendidikan, kedudukan geografi dan peringkat umur. Pendek kata, rata-rata rakyat Malaysia menggunakan media sosial.

    Kegunaan media sosial juga tidak perlu diulas secara panjang-lebar kerana semua pasti tahu akan fungsi dan kegunaannya. Walau bagaimanapun, sebagai seorang yang mempunyai latarbelakang pendidikan dan kerjaya dalam bidang Sains Komputer saya akan berkongsi beberapa isu berkaitan yang jarang diambil kisah oleh pengguna dalam post-post yang akan datang.

    Media sosial bukanlah perkara baru di Malaysia. Saya telah menggunakan media sosial sejak di alam persekolahan lagi iaitu sekitar tahun 1997/98 (mungkin lebih awal di negara lain). Pada masa itu, media komunikasi yang sering digunakan ialah mIRC, kemudian selepas itu ICQ, Yahoo Messengger, forum-forum, friendster dan kemudiannya facebook. Ada beberapa aplikasi lagi yang saya tidak pernah gunakan.

    Pada awalnya media sosial tidak begitu terkenal dan hanya digunakan oleh individu-individu yang memiliki komputer atau dicapai melalui pusat-pusat cyber sahaja. Namun apabila telefon pintar berkembang di malaysia sekitar tahun 2007, ia berkembang dengan pantas dan kini media sosial boleh di capai di mana sahaja yang mempunyai capaian rangkaian telekomunikasi. Pada sekitar tahun 2007/2008 media-media sosial telah diadaptasi dalam bentuk baru yang boleh dicapai melalui telefon pintar dan kini masyarakat secara keseluruhannya boleh menggunakannya dengan bebas.

    Perkembangan ini merupakan sesuatu yang amat baik, akhirnya kemudahan maklumat dapat dinikmati di hujung jari oleh segenap lapisan masyarakat. Antara perkara seterusnya yang perlu diambilkira adalah mengenai didikan kepada pengguna tentang manafaat dan keburukan yang ada pada media sosial termasuklah beberapa keperluan kawalan dan penguatkuasaan supaya ianya tidak disalahguna sehingga mengakibatkan masalah pada pengguna sejagat.