Media sosial terutamanya aplikasi komunikasi WhatsApp kini menjadi medium utama untuk berkomunikasi. Ini disebabkan ciri-ciri aplikasi ini yang amat mudah dipasang, mudah digunakan, percuma, mempunyai fungsi untuk pengguna berkomunikasi secara peribadi mahupun dalam kumpulan dan boleh diguna pada pelbagai peranti mobile termasuk komputer.
Aplikasi ini ternyata memberikan banyak manafaat kepada pengguna, namun tidak dinafikan bahawa kemudahan dalam aplikasi ini juga mudah disalahguna oleh pengguna yang tidak bertanggungjawab. Menyedari perkara ini, SKMM telah mengeluarkan satu garis panduan kepada pentadbir kumpulan (group admin) pada April 2017 bagi membantu mengekang penyebaran maklumat palsu dan mengurangkan risiko penyalahgunaan media sosial. SKMM menyenaraikan 12 garis panduan yang menyatakan apa yang patut (DO) dan tidak patut dilakukan (DON'T). Pentadbir kumpulan WhatsApp perlu bertanggungjawab dan perlu mengetahui bahawa mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya gagal mengawal penyebaran maklumat palsu dalam kumpulan sehingga menjejaskan keselamatan negara. Garis panduan ini dapat membantu pentadbir kumpulan untuk menguruskan WhatsApp group dengan lebih berkesan.
Walaupun tidak ada garis panduan khusus untuk individu perseorangan, sebagai pengguna kita juga perlu mengambil langkah berhati-hati untuk melindungi diri daripada menerima kesan buruk akibat penyalahgunaan aplikasi ini.
Antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah:-
1. Elakkan post aduan sensitif.
Setiap perkara terutamanya perkara yang sensitif amat mudah dimanipulasi oleh pengguna lain dalam kumpulan dan digunakan untuk menentang anda semula sehingga membuatkan anda kelihatan amat teruk. sebagai contoh aduan anda terhadap taman yang kotor boleh dimanipulasi oleh orang lain dengan cara mengambil gambar taman selepas dibersihkan dan mengatakan anda hanya mereka-reka cerita.
Post anda juga boleh diambil, dimanipulasi dan disebarkan ke kumpulan-kumpulan yang lain dan digunakan untuk memburuk-burukkan anda. Post anda juga boleh diambil sebagai bukti bagi kelakuan anda. Oleh itu sebaik-baiknya selesaikan apa sahaja aduan yang sensitif secara berdepan dengan pihak yang berkenaan.
2. Elak berkongsi bahan sensitif yang tidak diketahui kesahihannya
Bahan yang anda kongsi samaada dalam bentuk teks, audio, video mahupun grafik mudah disalah tafsir dan menyebabkan komen negatif berantai oleh pengguna dalam kumpulan sekaligus boleh menyebabkan kerugian, menimbulkan fitnah dan menyebabkan keaiban pada individu lain. Anda pasti pernah membaca berita tentang perniagaan yang terpaksa ditutup akibat daripada hanya satu post yang menjadi viral walaupun apa yang diviralkan itu tidak menggambarkan fakta sebenar.
Sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa anda bertanggungjawab atas apa sahaja yang and kongsi di dalam kumpulan. Anda mungkin boleh memohon maaf tetapi kesan buruk yang akibat post anda tidak mungkin dapat dipulihkan dengan mudah.
3.Tahan diri dari memberi reaksi melampau pada post sensitif
Apabila sesuatu kejadian diviralkan di media sosial, ramai orang berlumba-lumba untuk memberi reaksi, membuat andaian, komen dan ulasan terhadap kejadian tersebut seolah-olah siapa yang paling cepat memberi komen maka dialah juara dan dialah yang paling bijak sekali. Ini termasuklah memaki hamun dan menghambur kata-kata kesat dan seterusnya berkongsi bahan tersebut pada kumpulan lain. Kita melihat banyak kejadian yang berlaku diviralkan dan memberi kesan yang mendalam kepada individu, keluarga dan saudara-mara pihak yang terlibat. Apa yang dikesalkan ialah sikap netizen yang terlibat dalam proses viral tersebut hanya memandang remeh dan berselindung di sebalik klausa "kebebasan bersuara", "sharing is caring", "sekadar memberi pandangan", "sekadar mengambil iktibar" dan sebagainya tanpa rasa kesal apabila cerita sebenar kejadian diketahui.
Perlu ingat bahawa setiap kejadian mempunyai cerita sebenar dan kita tidak dapat mengubah kesan buruk yang berlaku pada pihak terlibat akibat daripada reaksi melampau yang diberikan, oleh itu sebaik-baiknya elakkan dari memberi reaksi pada post sensitif.
4.Elakkan dari membuat/ berkongsi gurauan melampau
Bergurau senda di dalam kumpulan WhatsApp adalah perkara biasa dan amat baik untuk memeriahkan suasana serta memupuk kemesraan di kalangan ahli. Namun gurauan yang melampau berpotensi untuk mengguris perasaan orang lain. Ia juga boleh menjatuhkan reputasi anda sendiri dan boleh digunakan untuk menyerang personaliti anda. Oleh itu elakkan daripada berkongsi gurauan melampau terutamanya gurauan yang menyentuh peribadi orang lain.
5. Jangan berdebat di dalam kumpulan
Perdebatan melalui kumpulan WhatsApp adalah perkara yang perlu dielakkan kerana ia tidak akan berkualiti dan amat berbeza dengan debat yang dianjurkan secara realiti.
Dalam acara debat, forum dan dialog secara realiti, ia mempunyai peraturan, objektif dan format yang amat jelas.Ia juga dilakukan di dalam suasana yang terkawal dan fokus pada topik yang telah ditetapkan sahaja. Di akhir perdebatan kita akan mendapat hasil yang jelas daripada perdebatan tersebut seterusnya boleh digunakan untuk penyelesaian masalah.
Namun amat berbeza di dalam media sosial, pematuhan terhadap disiplin, format dan peraturan debat tidak dapat dilakukan. Debat melalui kumpulan WhatsApp berpotensi untuk keluar daripada tajuk dan melarat kepada topik yang lain. Perlu diingat bahawa adalah sukar untuk mengawal siapa yang perlu bercakap dan siapa yang seharusnya menjadi penonton di dalam kumpulan WhatsApp maka penglibatan ahli-ahli lain tidak dapat dibendung. Ahli-ahli kumpulan yang turut serta dalam perdebatan akan menjadikan perdebatan menjadi huru-hara, ada diantara ahli kumpulan yang akan menjadi penyokong, batu api, membuat provokasi dan ada juga yang akan cuba untuk mengalih perhatian dengan post artikel yang panjang lebar dengan harapan dapat menutupi debat yang sedang berlaku. Akhirnya perdebatan yang dilakukan hanya akan menjadi perang "keyboard" secara besar besaran dan menimbulkan lebih banyak masalah.
Latar belakang dikalangan ahli-ahli kumpulan yang mengambil bahagian juga adalah berbeza dari segi personaliti, tahap pengetahuan, ideologi, tahap pendidikan dan juga umur. Kadang-kala ada diantara ahli kumpulan yang merupakan penganalisis personaliti sengaja membuat kenyataan tertentu hanya sebagai eksperiment sosial dan tanpa disedari sedang menganalisis orang-orang tertentu dalam kumpulan. Tidak kurang juga yang amat hebat berkata-kata dan serba tahu di dalam media sosial tetapi bersifat sebaliknya secara realiti. Oleh itu adalah lebih baik untuk menghindari perdebatan yang sia-sia.