Saturday, 24 October 2015

Lambakan Maklumat Internet

Pada masa kini, internet merupakan teknologi yang menjadi keperluan hampir keseluruhan penduduk di Malaysia. Jika dibandingkan dengan keadaan pada sekitar 10 hingga 15 tahun yang lalu di mana internet hanya dicapai oleh golongan tertentu, kini, pengguna internet terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat tidak kira peringkat umur, pekerjaan, sosio ekonomi, kedudukan geografi dan sebagainya. Ini disebabkan oleh perkembangan teknologi yang kini mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat.

Pada asasnya, internet digunakan untuk menyebarkan maklumat dan juga untuk mendapatkan maklumat. Ini termasuklah maklumat dari segi ilmu pengetahuan, isu semasa, hiburan, politik, hobi serta digunakan sebagai medium komunikasi. Maklumat yang boleh dimuatnaik dan diperolehi dari internet juga datang dalam pelbagai bentuk digital sama ada dalam bentuk teks, ilustrasi/ gambar, audio dan juga video.

Tidak dinafikan bahawa faedah yang dibawa oleh teknologi ini amat banyak sekali. Malah jika kita membuat carian mengenainya, beribu-ribu penulisan dan kajian akan dipaparkan pada hasil carian. Walau bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa teknologi internet datang dalam bentuk pakej. Selain daripada faedah yang baik, ia juga datang berserta dengan kelemahan-kelemahan tertentu. Mengambil contoh sistem e_learning yang mempunyai tujuan yang baik juga terdapat faedah dan kelemahannya seperti  yang dinyatakan dalam journal yang diterbitkan oleh "International Journal of Education and Research Vol. 2 No. 12" yang diterbitkan pada disember 2014.

Boleh dikatakan bahawa maklumat-maklumat yang boleh diperolehi daripada internet adalah terdiri daripada maklumat sahih dan juga maklumat yang palsu. Ini disebabkan oleh kebebasan yang ada pada teknologi ini. Sesiapa sahaja boleh menulis, mencipta, menggubah dan berkongsi apa juga maklumat dan bahan untuk pelbagai tujuan termasuklah tujuan yang tidak baik.

Peningkatan pengguna internet merupakan sesuatu yang amat baik sekali. Namun apa yang menjadi kebimbangan adalah keupayaan setiap individu untuk menilai maklumat-maklumat yang diperolehi. Ramai pengguna yang sukar menilai mengakibatkan mereka mudah terpengaruh dan mempercayai bulat-bulat apa sahaja informasi yang boleh diperolehi dari internet. Tidak cukup dengan itu, golongan ini juga turut berkongsi maklumat yang kurang tepat dalam media sosial. Malah ada yang suka menjadi ikut-ikutan dan sering mengemaskini status di media sosial berdasarkan tajuk-tajuk artikel sehinga memetik akta-akta tertentu tanpa memahami dan mengetahui kandungan sebenar artikel dan akta tersebut. Jika keadaan seperti ini dibiarkan melarat, teknologi ini akan mengakibatkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Kebanjiran maklumat yang ada dalam internet mungkin sukar untuk dikawal, oleh itu, selain daripada kawalan yang dilakukan oleh pihak berkuasa, pendekatan lain untuk mendidik pengguna internet perlu dilakukan. Ini termasuklah pendedahan awal di peringkat sekolah dan juga kepada pengguna-pengguna baru terutamanya kepada golongan yang mempunyai pengetahuan yang tidak terperinci mengenai teknologi ini agar berupaya membuat penilaian yang sewajarnya terhadap setiap maklumat yang diperolehi.





No comments:

Post a Comment