Tuesday, 3 November 2015

Kesan gadget elektronik kepada kanak-kanak




Beberapa tahun dahulu, gadget elektronik merupakan satu alat yang hanya dianggap sebagai nilai tambah dalam kehidupan seharian dan adalah menjadi kebanggaan untuk memilikinya. Namun pada masa kini, ia bukan lagi setakat satu nilai tambah tetapi sudah dianggap sebagai keperluan untuk membantu urusan seharian bermula dari komunikasi, urusan kerja, urusan perbankan, pencarian maklumat, pembelajaran, hiburan dan banyak lagi kegunaan lain. Kesan gadget elektronik kepada kehidupan seharian kita amatlah besar, sebagai contoh, jika kita terlupa membawa telefon pintar semasa keluar dari rumah, tahap kerisauan kita seolah-olah seperti orang yang kehilangan kunci rumah atau barang berharga. Jika kesan sebegini berlaku pada orang dewasa, bagaimana pula kesan kepada kanak-kanak?

Menurut artikel bertarikh 6 jun 2013 yang diterbitkan dalam surat khabar thestar.com.my yang memetik kajian daripada beberapa intitut dan organisasi, ibu bapa pada masa kini mendedahkan anak-anak mereka kepada gadget elektronik pada usia yang sangat muda. Ramai ibu bapa yang berasa selesa memberikan gadget kepada anak-anak kerana ia boleh membantu mereka duduk diam dan tidak membuat karenah semasa membeli-belah, berada di restoran ataupun tempat-tempat awam. Walau bagaimanapun, ramai ibu bapa yang tidak memahami kesan pendedahan peralatan tersebut pada anak-anak mereka. 

Pada masa kini, gadget elektronik bukan lagi terhad kepada orang dewasa tetapi sudah banyak produk yang dikeluarkan disasarkan khusus kepada kanak-kanak. Setiap produk yang dikeluarkan ini mempunyai kesan sampingan, maka timbul persoalan di kalangan ibu bapa tentang adakah kanak-kanak boleh didedahkan kepada produk tersebut ataupun tidak?. Kebanyakan aritkel dan kajian yang diterbitkan samaada melalui internet mahupun bahan bercetak banyak menyentuh tentang kesan buruk gadget elektronik kepada kanak-kanak. Namun untuk benar-benar memahami isu ini, masyarakat perlu melihat kepada kedua dua aspek iaitu faedah dan kesan buruk  penggunaan gadget.
Berikut adalah senarai kesan negatif dan juga faedah pendedahan gadget elektronik kepada kanak-kanak yang dipetik daripada beberapa suratkhabar, hasil kajian yang dilakukan organisasi kesihatan serta beberapa professor dari university tempatan dan luar Negara.


Kesan Negatif

  •          Kerosakan mata akibat terdedah terlalu lama pada skrin
  •          Kegemukan dan masaalah kesihatan jantung akibat kurang aktiviti fizikal
  •          Kerosakan struktur rangka kerana duduk terlalu lama
  •          Kemerosotan pembelajaran seperti matematik dan kemahiran penulisan Bahasa yang betul
  •         Kesukaran memberi tumpuan pada pelajaran
  •         Masaalah pergaulan dan komunikasi kerana kekurangan interaksi nyata.
  •         Masaalah buli melalui cyber
  •         Kesukaran mempelajari kemahiran sebenar / teknikal
  •          Menjarakkan hubungan anak dan ibu bapa
Faedah penggunaan gadget
  •          Mengaktifkan rangsangan pembelajaran kanak-kanak
  •          Meningkatkan kemahiran teknologi
  •          Meningkatkan pengetahuan dan pembelajaran baru dengan lebih cepat
  •          Faedah daripada perisian-perisian pendidikan
  •          Memberikan hiburan dan ketenangan

Setelah memahami kesan negatif dan juga faedah gadget elektronik kepada kanak-kanak, boleh disimpulkan bahawa terdapat keperluan untuk memberikan pendedahan kepada kanak-kanak bermula dari peringkat awal usia lagi untuk mendapat faedah daripada segi pendidikan, namun kawalan harus dipraktikan supaya kesan-kesan negatif  dapat dihindarkan sebaik mungkin.

 Menurut pandangan pakar dan penyelidik, pendedahan peralatan elektronik kepada kanak-kanak tidak boleh melebihi tempoh 2 Jam sehari, namun kanak-kanak adalah berbeza dari segi tingkah laku, tahap kesihatan, penerimaan dan peringkat umur. Oleh itu adalah penting bagi ibu bapa untuk memahami jenis perlatan elektronik yang ingin didedahkan dan juga memahami anak-anak sebelum menetapkan peraturan dan kawalan penggunaan gadget samaada perlu kurang atau lebih sedikit dari saranan pakar. 

No comments:

Post a Comment